Tolong dengar keluhan nelayan Sungai Lereh


KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mendengar keluhan nelayan sekitar Sungai Lereh, Pantai Kundur yang kini menghadapi masalah kekurangan hasil tangkapan.

Menurut Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu), masalah ini dipercayai berpunca akibat projek penambakan laut secara besar-besaran yang dilakukan kerajaan Melaka sekitar Klebang pada masa ini.

Tambah beliau, jumlah tangkapan ikan khususnya di Kawasan Melaka Selatan berkurangan sebanyak 43 peratus, iaitu dari 410,000 kilogram kepada hanya 226,000 kilogram dalam tempoh 10 tahun.


“Kita tidak nafikan nelayan menerima beberapa insentif dari kerajaan melalui LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia), tetapi apakah ini mencukupi apabila jumlah tangkapan merudum?

“Kita harus ingat bahawa kepentingan `stake holder’ (pihak berkepentingan) juga terjejas dengan teruk. Bagaimana dengan penduduk sekitar yang bergantung kepada hasil tangkapan laut?” soalnya ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, situasi yang dihadapi nelayan ini diburukkan lagi dengan kemusnahan habitat pembiakan ikan dan hidupan marin, selain kawasan penangkapan ikan semakin mengecil setelah tiga buah pulau diwartakan sebagai Taman Laut.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil langkah membantu nelayan di Sungai Lereh demi menjamin sumber protein laut bagi negeri itu.


“Antaranya, Muara Sungai Lereh perlu dicuci dan didalamkan secara berkala dan sekarang terlalu mendesak supaya nelayan dapat turun laut dan kembali ke pangkalan tanpa perlu menunggu air pasang.

“Menyediakan `floating platform’ (pelantar terapung) bagi memudahkan nelayan membaiki bot dan enjin bot mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/9/2023

Source: Harakah Daily https://harakahdaily.net/index.php/2023/09/14/tolong-dengar-keluhan-nelayan-sungai-lereh/

Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot