Rayuan supaya tidak meneruskan projek penambakan mega di Pulau Pinang

 


Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) merayu kepada kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri supaya tidak meneruskan projek penambakan laut di selatan Pulau Pinang (“Penang South Reclamation”).

Kami amat kesal dengan dedahan kerajaan negeri Pulau Pinang bahawa kerja-kerja projek itu akan bermula pada hari ini, 1 September, selepas pelan pengurusan alam sekitar untuk projek itu diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar pada Julai 2023.

Kami ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah mendapat kebenaran merancang untuk memulakan projek di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Ini adalah keperluan undang-undang yang perlu dipatuhi.

Selain daripada isu undang-undang, kami amat kecewa kerana kerajaan “Madani” bertekad untuk meneruskan projek tersebut walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan oleh nelayan, termasuk Pen Mutiara, iaitu persatuan nelayan rasmi, dan Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang dan semua unit perkampungan nelayan di sini.

Nelayan telah mencabar kelulusan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling bagi cadangan projek ini. Tetapi tiada tarikh pendengaran ditetapkan setakat ini oleh Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Mengurangkan skala projek daripada tiga pulau kepada satu pulau tidak meredakan kebimbangan kami dan komuniti nelayan. Seperti yang kami telah hujahkan berulang kali, projek ini tidak diperlukan kerana tanah di Seberang Perai adalah lebih daripada mencukupi untuk sebarang pengembangan aktiviti ekonomi.

Memusnahkan ekosistem penting yang kaya dengan kepelbagaian biologi, yang tidak boleh diganti adalah tidak wajar dan tidak masuk akal.

Kerajaan Madani melafaz akan bertindak demi kepentingan awam bagi memastikan keadilan sosial, tetapi kini mengabaikan bantahan keras daripada persatuan nelayan rasmi.  Dalam hal ini ianya tidak menghala ke arah governans yang baik dan kerajaan yang prihatin.

Kami sekali lagi merayu kepada kerajaan persekutuan dan perdana menteri khususnya, serta kerajaan negeri agar tidak memburukkan lagi ketidakadilan sosial dan alam sekitar dengan meneruskan projek penambakan ini.

Tolong dengar suara mereka yang mewakili kepentingan tulen nelayan dan tidak mengalah kepada lobi pihak swasta yang mengutamakan keuntungan berbanding kesejahteraan awam. Kami menggesa agar permulaan kerja penambakan ini akan dihentikan dengan segera.

Mohideen Abdul Kader ialah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang manakala Mageswari Sangaralingam ialah setiausaha kehormat Sahabat Alam Malaysia

The views expressed in Aliran's media statements and the NGO statements we have endorsed reflect Aliran's official stand. Views and opinions expressed in other pieces published here do not necessarily reflect Aliran's official position.

AGENDA RAKYAT - Lima perkara utama
  1. Tegakkan maruah serta kualiti kehidupan rakyat
  2. Galakkan pembangunan saksama, lestari serta tangani krisis alam sekitar
  3. Raikan kerencaman dan keterangkuman
  4. Selamatkan demokrasi dan angkatkan keluhuran undang-undang
  5. Lawan rasuah dan kronisme

Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot