Projek PSI: SAM gesa batalkan terus, bukan kecilkan kawasan tambakan laut

 



GEORGETOWN: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan tambakan laut seluas 930.8 hektar bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI), masih berskala besar dan tetap memberi impak buruk terhadap ekosistem laut.

Sehubungan itu, Presidennya, Meenakshi Raman menggesa kerajaan negeri membatalkan terus projek terbabit, selain menegaskan pihaknya menolak keputusan mengecilkan Pulau A yang dinamakan Pulau Silikon daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

"Keputusan ini masih tidak boleh diterima memandangkan kawasan penambakan masih sangat besar, sekali gus menjejaskan kawasan perikanan dan alam sekitar.

"Selain itu, ia membabitkan jumlah pengambilan pasir yang banyak dari perairan Pulau Pinang dan Perak yang dikhuatiri mengakibatkan lebih banyak kemusnahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Meenakashi menegaskan adalah tidak benar hanya sebilangan kecil nelayan akan terjejas kerana projek berkenaan dilihat bakal memusnahkan dataran lumpur, terumbu karang, menjejaskan habitat marin dan mengganggu penghijrahan udang.

Katanya, meskipun skala pembinaan pulau buatan itu dikecilkan, ia akan tetap menjejaskan nelayan di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Beliau turut berpandangan, tiada keperluan untuk kerajaan negeri meneruskan PSI kerana Kerajaan Persekutuan telah bersetuju menambah dana dalam satu skim besar bagi membolehkan projek Transit Aliran Ringan (LRT) segera dilaksanakan di negeri ini.

"Tiada sebarang justifikasi untuk itu (PSI) dan kita mempunyai tanah di Seberang Perai, seperti yang diakui sendiri Ketua Menteri, seluas 12,000 hektar. Jadi batalkan PSI, bukan kecilkannya," katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dan Pulau C dalam Projek PSI seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu.

Pengurangan keluasan itu membabitkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada sebuah pulau sahaja.



Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot