LKIM perkenal satu persatuan, satu produk bantu ekonomi nelayan

 

Muhammad Faiz (dua, kanan) beramah mesra bersama penerima bantuan nelayan. - Foto Bernama


PELABUHAN KLANG - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkenalkan projek satu persatuan nelayan, satu produk sebagai usaha meningkatkan ekonomi dan membasmi kemiskinan dalam kalangan nelayan di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, inisiatif itu juga dilihat mampu meningkatkan taraf dan kualiti hidup golongan nelayan yang kebanyakannya daripada kelompok B40.


"Hal ini kerana ramai dalam kalangan mereka (nelayan) tidak melibatkan diri dalam industri hiliran, bermaksud mereka tidak mengubah hasil tangkapan mereka itu untuk menjana pendapatan.

"Terdapat 113 persatuan nelayan di dalam negara, jadi saya merancang untuk mewajibkan setiap persatuan ini mempunyai produk dan aktiviti hiliran berasaskan perikanan masing-masing supaya lebih banyak hasil dapat dijana," katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Rahmah Mesra Madani bersama nelayan Orang Asli Pulau Indah, di sini pada Ahad.

Muhammad Faiz berkata, inisiatif itu juga mampu membantu kerajaan dalam memastikan bekalan produk berasaskan ikan di pasaran sentiasa mencukupi.

Pada majlis itu, 29 nelayan di Kampung Orang Asli Pulau Indah menerima bantuan kotak makanan dan peralatan nelayan di bawah program Peningkatan Pendapatan dan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan (Touch Point) dengan peruntukkan keseluruhan RM31,030. - Bernama


Source: Sinar Harian https://www.sinarharian.com.my/article/278272/berita/nasional/lkim-perkenal-satu-persatuan-satu-produk-bantu-ekonomi-nelayan

Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot