Cuba seludup keluar dadah RM 1.9 juta ke Indonesia melalui jeti nelayan

RAMLI (tengah) menunjukkan syabu dan pil ecstasy yang dirampas dari seorang lelaki warga Indonesia pada sidang media di IPD Kuala Selangor, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Guna kawasan semak di jeti nelayan dan dibayar upah RM 5,000 bagi tujuan aktiviti pengedaran dadah.

Itu modus operandi digunakan seorang lelaki warga Indonesia untuk menyeludup keluar dadah syabu dan pil ecstasy bernilai jutaan ringgit ke pasaran Indonesia.

Bagaimanapun, cubaan itu berjaya dihidu pihak berkuasa apabila suspek ditahan di sebuah jeti nelayan di Sungai Buloh, Jeram, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam operasi jam 2.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor melakukan serbuan di lokasi kejadian hasil maklumat awam.


"Hasil soal siasat terhadap suspek berusia 21 tahun menemui tiga beg plastik hitam yang di dalamnya mengandungi 56 bungkusan teh Cina berisi dadah jenis syabu seberat 58.9 kilogram.

"Turut ditemui adalah satu beg plastik berisi 3,500 biji pil ecstasy seberat 1.4 kilogram. Kesemua dadah ini disembunyikan dalam semak berhampiran suspek ditahan," katanya pada sidang media di IPD Kuala Selangor, di sini, hari ini.


Ramli berkata, semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM 1.9 juta, sekali gus menjadikan ia rampasan dadah terbesar untuk tahun ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau namun hasil ujian air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine.


"Lelaki ini dipercayai masuk ke Malaysia pada 13 September lalu dengan menggunakan pas pelancong.

"Dia kemudian ditawarkan kerja sebagai pembantu kepada seorang lagi lelaki warga Indonesia yang mana polis sedang mengesannya," katanya.


Ramli berkata, jumlah syabu dan pil ecstasy itu mampu menampung permintaan kira-kira 120,000 penagih dadah.


"Polis percaya semua dadah ini belum sempat dipindahkan ke dalam sebuah bot semasa serbuan dilakukan.

"Dahulunya, kawasan itu merupakan sarang penagih dan ini kali pertama untuk aktiviti pengedaran dadah," katanya.


Ramli berkata, suspek direman selama enam hari bermula Jumaat lalu hingga 27 September ini bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.



Source: Metro
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/09/1013340/cuba-seludup-keluar-dadah-rm-19-juta-ke-indonesia-melalui-jeti-nelayan









Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot