PSI: Nelayan kecewa rayuan semakan EIA belum didengar

 



GEORGETOWN - Nelayan Pulau Pinang amat kecewa apabila rayuan mereka untuk menyemak semula keputusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) masih belum didengar oleh Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Timbalan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Zakaria Ismail berkata, walaupun rayuan tersebut dibuat pada April lalu, namun sehingga kini, ia belum didengar malah kerajaan negeri sudah memulakan kerja awal tapak di tapak projek berkenaan.

Menurutnya, PenMutiara juga tidak dimaklumkan mengenai perkembangan rayuan berkenaan dan ia seolah-olah 'senyap' sehingga ke hari ini.

"Kami tidak mendapat maklum balas daripada Lembaga Rayuan JAS, apabila kerajaan negeri kata mereka akan mulakan kerja-kerja awal tambakan, ia seolah-olah telah ketepikan rayuan yang kami kemukakan.

"Jadi rayuan yang kami buat kepada Lembaga Rayuan JAS, tiada guna lagi kerana kerajaan negeri tidak mahu dengar suara pemegang taruh," katanya pada Isnin.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada JAS Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Kelulusan itu adalah susulan daripada kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

Dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September lalu dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.

Dalam pada itu, Zakaria turut memohon agar kerajaan negeri menunggu keputusan rayuan nelayan terlebih dahulu sebelum memulakan kerja awal di tapak.

"Kerajaan negeri tidak sepatutnya terburu-buru memulakan kerja tapak. Dengar dulu keputusan rayuan.

"Selain itu, Lembaga Rayuan JAS juga sewajarnya memberi laluan kepada kami dengan mendengar rayuan yang telah dikemukakan supaya berlaku keadilan bagi pihak kami dan kerajaan negeri turut berpuas hati dengan proses yang berjalan," katanya.

Beliau turut meluahkan kekesalannya apabila kerajaan negeri telah mengumumkan kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September lalu.

"Pulau yang bakal dibina ini langsung tidak mendapat persetujuan daripada nelayan setempat. Nelayan sangat kecewa dan terkilan apabila mendengar pengumuman kerajaan negeri baru-baru ini.

"Kami (golongan nelayan) sebagai pemegang taruh, sepatutnya mereka (kerajaan) mendengar rayuan kami tetapi kerajaan sekarang ini tak dengar langsung.

"Kalau boleh, sekurang-kurangnya kerajaan negeri jangan mulakan dulu kerja awalan tambak, dengar dulu keputusan rayuan," keluhnya.

Sebelum ini, JAS pusat telah meluluskan Laporan EIA bagi Projek PSI dengan berasaskan 71 syarat ditetapkan termasuk keperluan meneruskan pelaksanaan Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) dan Pelan Induk Pengimbangan Ekologi (PEOM) projek berkenaan.

Mei lalu, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam PSI seperti mana yang diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Selain Pulau B, keluasan Pulau A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821 hektar kepada 930.8 hektar.

Pengurangan keluasan itu melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu pulau sahaja selain Pulau C yang berkeluasan 323.7 hektar turut dibatalkan.

Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot