Kerajaan negeri salur bantuan sangkar ikan, nelayan terjejas

 

Fahmi (kiri) mengedarkan sayur percuma pengunjung Program Jualan Agro Madani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak pada Ahad.


BAYAN BARU - Kerajaan Pulau Pinang akan menyalurkan bantuan kepada enam pengusaha sangkar ikan dan nelayan yang terjejas berikutan fenomena air pasang merah melanda kawasan Teluk Bahang minggu lalu.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata, dianggarkan sebanyak 12 tan ikan daripada enam sangkar mati berikutan fenomena itu membabitkan kerugian hingga RM300,000.


"Saya telah turun ke lokasi kejadian dan melawat ke kawasan di Teluk Bahang dan difahamkan ia adalah kejadian alam yang berlaku secara semula jadi dan memerlukan kejadian alam juga untuk beransur pulih dengan kitaran air di bawah sahaja. 

"Setakat ini fenomena ini hanya terjadi di Teluk Bahang sahaja dan tidak merebak ke tempat lain," katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan Program Jualan Agro Madani di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak pada Ahad.


Fahmi yang juga ADUN Pantai Jerejak berkata, fenomena dan kerugian yang dihadapi oleh pengusaha sangkar ikan dan nelayan telah dibawa kepada perhatian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini dan hanya menunggu kelulusan daripada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, nelayan-nelayan di sekitar kawasan Teluk Bahang sehingga ke Sungai Pinang di Balik Pulau dekat sini bimbang dengan fenomena yang didakwa sebagai air pasang merah melanda kawasan berkenaan sejak dua hari lalu.

Nelayan setempat mendakwa air pasang merah itu yang mengakibatkan ikan serta hidupan laut mati berlaku bermula kira-kira 1 kilometer iaitu di kawasan Muka Head sehingga ke kawasan pesisir pantai di sekitar Teluk Bahang.

Kejadian sama turut dikesan di kawasan Sungai Pinang, di Balik Pulau dan ia turut mengakibatkan ikan timbul dipermukaan lalu mati.

Pengarah Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Aileen Tan berkata, kejadian itu boleh dianggap sebagai air pasang merah (red tide bloom) dan ia berpunca daripada sejenis plankton yang dikenali Dinoflagellate, Noctiluca Scintillans.


Source: Sinar Harian

https://www.sinarharian.com.my/article/276962/edisi/utara/kerajaan-negeri-salur-bantuan-sangkar-ikan-nelayan-terjejas

Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot