30 nelayan ditahan, babitkan nilai rampasan RM6.5 juta
LUMUT: Seramai 30 nelayan dengan 29 daripadanya warga Myanmar ditahan bersama nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM6.5 juta, kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985, antara 4 September lalu hingga semalam.
Semua bot itu ditahan oleh Jabatan Perikanan Perak di bawah Unit Pemantauan, Pengawalan dan Pengawasan (MCS) Kampung Acheh dengan kerjasama Bahagian Konservasi dan Perlindungan Perikanan Putrajaya dan Unit MCS Pulau Pinang dengan kekuatan 21 anggota dan tiga aset.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap, berkata enam bot tunda C ditahan pada kedudukan 15 batu nautika dari Sabak Bernam dan sebuah bot tunda B1 ditahan di kedudukan kira-kira lapan batu nautika dari perairan sama iaitu kawasan larangan bagi kelas bot jenis berkenaan bagi melakukan aktiviti penangkapan ikan.
Katanya, kesalahan yang dikesan adalah menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan menggunakan mata keroncong pukat tunda kurang dari 38mm.
Selain itu, katanya, tidak mengaktifkan sistem pengawasan kapal penangkapan ikan (VMS) semasa ditahan, memasang alat perhubungan di atas kapal penangkapan ikan tanpa kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan menambah struktur tangki minyak di bahagian kemudi.
"Turut dirampas, ikan campur dengan anggaran seberat 1,500 kilogram (kg) bernilai RM45,000 dan kesemua tujuh bot turut disita menjadikan nilai rampasan RM6.5 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua bot tunda dibawa ke pangkalan MCS Kampung Acheh untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985.
Comments
Post a Comment
Tinggalkan komentar untuk meningkatkan kinerja