Beri perhatian terhadap nasib nelayan B40


KUALA LUMPUR: Senator Dato’ Husain Awang meminta kerajaan menyatakan secara terperinci sejauh mana program peningkatan produktiviti nelayan B40 yang diperuntukkan sebanyak RM250,000 dapat meningkatkan taraf hidup nelayan, terutama di Terengganu.

Ustaz Husain juga mempersoalkan inisiatif bersepadu yang disediakan oleh kerajaan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan nelayan, terutama negeri Terengganu dan Kelantan.


“Sejauh mana nelayan negara kita didedahkan dengan penggunaan teknologi penangkapan ikan sehingga peringkat penjualan ikan yang semestinya dapat menjana pendapatan yang tinggi kepada mereka.

“Kerajaan juga harus memberikan perhatian terhadap komuniti nelayan kerana mereka bukan sahaja tidak mempunyai pendapatan tetap, malah tidak berpencen, tiada wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Ada hari-hari tertentu mereka tidak ke laut atau ke laut, tapi pulang dengan tangan kosong tanpa memperolehi sebarang pendapatan.

“Hal ini lebih buruk apabila tiba musim monsun timur laut. Nelayan tidak dapat turun ke laut untuk menjala atau menangkap ikan dan hanya bergantung kepada sumber makanan yang ada untuk bertahan.


Justeru, beliau meminta program peningkatan produktiviti nelayan B40 di Terengganu benar-benar dapat menoktahkan kemiskinan yang telah lama membelenggu mereka.

Selain itu, beliau berharap kerajaan dapat membangunkan semula kemudahan infrastruktur pelancongan di Taman Herba Tasik Kenyir.

“Pembangunan semula kemudahan infrastruktur pelancongan di Taman Herba Tasik Kenyir perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan kerana merupakan antara destinasi yang gemar dilawati pengunjung tempatan dan luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/9/2023


Source: Harakah Daily

https://harakahdaily.net/index.php/2023/09/20/beri-perhatian-terhadap-nasib-nelayan-b40/ 


Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot