Tiga nelayan Labuan selamatkan telur penyu, ikan lumba-lumba dapat pengiktirafan
LABUAN: Tiga nelayan menerima pengiktirafan daripada Jabatan Perikanan Labuan hari ini berikutan penemuan telur penyu dan berjaya menyelamatkan ikan lumba-lumba di perairan pulau bebas cukai itu.
Pada kejadian 23 Sept lepas, Sahary Abd Halim dan Elly Madi sedang bersiap sedia untuk menangkap ikan di pantai Kampung Sungai Labu, namun ternampak seekor biawak menggali lubang di pasir pantai berkenaan.
Mereka kemudian pergi memeriksa kawasan itu dan terkejut kerana menjumpai banyak telur penyu di dalam lubang berkenaan, dan terus menghubungi Jabatan Perikanan Labuan.
Pegawai jabatan itu kemudian bergegas ke tempat kejadian dan berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan mendapati sejumlah 106 biji telur penyu dipercayai daripada spesies terancam iaitu penyu sisik telah digali sebelum memindahkan kesemua telur itu ke Pusat Penetasan Penyu Pulau Rusukan.
Sementara itu, ketika melakukan rutin pagi menangkap ikan di Pantai Layangan pada 15 Mei lepas, Osman Khamis terdengar bunyi luar biasa berdekatan dengan tempat dia memancing.
Dia terkejut kerana bunyi itu datangnya daripada empat ekor ikan lumba-lumba yang terdampar di pantai berkenaan, lalu segera membantu menyelamatkan haiwan itu dengan membawanya ke kawasan air yang lebih dalam, bagaimanapun seekor ikan lumba-lumba tidak dapat diselamatkan.
Osman kemudian menghubungi Jabatan Perikanan Labuan untuk melaporkan kejadian itu pada hari yang sama.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Faizal Ibrahim Suhaili berkata pemberian sijil pengiktirafan itu sebagai penghargaan terhadap dedikasi mereka dalam memulihara hidupan liar dan peranannya dalam melindungi populasi penyu sisik dan ikan lumba-lumba.
"Usaha mereka menjadi bukti bahawa setiap individu dapat menyumbang kepada pemuliharaan alam semula jadi kita," katanya
Source: Sinar Harian
Comments
Post a Comment
Tinggalkan komentar untuk meningkatkan kinerja