Sistem berlabuh kapal dagang diselaras untuk tangani isu dihadapi nelayan

 






Melaka: Kerajaan Melaka akan menyelaras semula kawasan berlabuh kapal dagang di perairan Tanjung Kling di sini dengan susunan selari dan lebih sistematik bagi menangani kesukaran nelayan untuk menangkap ikan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ia berikutan aduan dan keluhan nelayan yang mendakwa aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan itu terjejas selain mengalami kerugian setelah jaring rosak akibat dilanggar kapal dagang.


"Apabila ada kapal-kapal besar berlabuh dalam keadaan berselerak sekali gus menyukarkan nelayan tempatan, justeru dengan susunan plot dalam satu garis selari, nelayan boleh turunkan pukat mereka tanpa perlu memikirkan pukat itu akan tersangkut lagi.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Laut, Tanjung Beruas Port dan Pelabuhan Klang bagi penyusunan semula plot tempat kapal-kapal ini berlabuh," katanya kepada pemberita di Jeti Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan di Banda Hilir di sini.


Terdahulu beliau meninjau kawasan tangkapan ikan nelayan di perairan Melaka Tengah yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan negeri Mohd Fauzi Salehon.

Dr Akmal berkata pada masa sama pihaknya akan menyemak penjadualan kapal yang keluar masuk dan mengehadkan satu kapal pada satu-satu kawasan yang ditetapkan selain memastikan susunan kapal itu dalam kedudukan selari dalam satu garisan.

Katanya dengan penyusunan plot itu nelayan yang memasuki kawasan zon kapal berlabuh masih boleh menjalankan aktiviti tangkapan mereka tanpa merosakkan jaring atau pukat.


Source: Metro

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/10/1016014/sistem-berlabuh-kapal-dagang-diselaras-untuk-tangani-isu-dihadapi-nelayan

Comments

Popular posts from this blog

About Us

TRAWLING FOR NEW OPPORTUNITIES

PANTUN: KESAN BURUK PULAU BUATAN