Tak nampak jalan penyelesaian, nelayan mula terima SIMP

Setiap hari nelayan melihat kerja tambakan laut dijalankan di kawasan mereka menangkap hasil laut.


GEORGE TOWN - "Luluh hati kami melihat kerja-kerja penambakan sudah mula dijalankan."

Demikian luahan Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara), Ibrahim Che Ros berhubung kerja penambakan di selatan negeri ini untuk Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) seluas 930.8 hektar itu.

Kata Ibrahim, pihaknya tidak mampu lagi untuk membuat sebarang bantahan berikutan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Luahnya lagi, keputusan rayuan mereka untuk menyemak semula keputusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek itu juga masih belum didengar oleh Lembaga Rayuan JAS.

"Kami nelayan yang terlibat, dah tak boleh buat apa-apa. Setiap hari tengok jentera besar di kawasan laut yang selalu kami pergi, tengah menjalankan kerja awal tapak.

"Semangat untuk turun ke laut juga hilang, tak tahu mana lagi kami nak minta bantuan. Kerja di tapak setiap hari berjalan, tambahan pula, rayuan kami pada Lembaga Rayuan JAS masih lagi belum didengar.

"Tak tahu apa status rayuan itu sekarang kerana sampai sekarang, senyap ja," katanya ketika dihubungi pada Isnin.



Sehubungan itu, Ibrahim berkata, banyak unit nelayan telah menerima tawaran Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Disebabkan desakan ini, ramai nelayan telah menerima tawaran ini yang pada mulanya ia ditolak (oleh nelayan). Mereka sudah tandatangan.

"Bagaimanapun, setakat yang saya tahu, unit nelayan yang masih belum bersetuju dan terima SIMP ini adalah Unit Nelayan Sungai Batu, Seri Jerejak, Teluk Kumbar dan Telok Tempoyak. Yang lain sudah tandatangan," katanya.


Jelas beliau, dakwaan mengatakan nelayan yang sudah menandatangani SIMP belum mendapat sepenuh pampasan menyebabkan ramai nelayan ragu-ragu untuk bersetuju.

"Nelayan dari empat unit ini tidak setuju lagi sebab ada yang mendakwa, mereka yang telah tandatangan sebelum ini, belum dapat pampasan sepenuhnya lagi, hanya 70 peratus sahaja.

"Ini yang buat kami semua risau kerana contoh dah ada, iaitu nelayan di Sri Pinang. Ada yang sampai sekarang belum dapat pampasan sepenuhnya," tambahnya lagi.


Kerja awalan tapak didapati sedang dijalankan di kawasan selatan Pulau Pinang untuk Projek PSI.


Ibrahim berkata, pihaknya akan bertemu dengan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid pada 24 Oktober ini di Komtar bagi membincangkan beberapa perkara termasuk isu pampasan.

"Kami mahu bincang tentang pemberian pampasan menerusi skim itu kerana hanya 70 peratus akan diberi dahulu dan 30 peratus kemudian. Kami tidak mahu perkara berbangkit mengenai baki pampasan itu sekiranya kami bersetuju sebab itu kami mahukan perjanjian hitam putih.

"Selain itu, ada nelayan yang mohon pampasan berbentuk rumah mengikut harga pasaran sampan. Contohnya jika sampan berharga RM80,000 maka rumah juga perlu diberikan setara dengan harga berkenaan.

"Lagi pun, harga sampan yang ditawarkan kerajaan negeri lebih murah daripada harga sampan yang dimiliki sebilangan nelayan. Kami juga mahu bincang mengenai kategori unit nelayan terkena impak secara langsung daripada projek tersebut," katanya.



Sementara itu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman berkata, bukan semua nelayan yang terlibat dengan Projek PSI bersetuju dengan tawaran skim tersebut malah masih ada yang kekal membantah.

"Bukan semua yang setuju. Ada juga yang masih kekal bantahan mereka. Nelayan bukan golongan yang mewah, mungkin mereka terpaksa.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu sejauh mana nelayan bersetuju dengan SIMP ini. Yang saya tahu, kami akan terus membantah projek berkenaan," katanya ketika dihubungi.


Beliau menambah, penerimaan tawaran oleh sebilangan nelayan itu tidak bermakna perjuangan SAM dan badan bukan kerajaan (NGO) lain telah berakhir.

"Kami tetap positif, perjuangan masih lagi belum berakhir. Lagi pun, rayuan yang mencabar keputusan JAS belum lagi didengar oleh Lembaga Rayuan JAS.

"Tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang masih meneruskan kerja awal tambakan menunjukkan mereka tidak akur kepada undang-undang. Ini amat dikesali," katanya.


Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek Pulau Silikon telah memperoleh kelulusan rasmi daripada JAS Pulau Pinang pada 21 Julai lalu.

Kelulusan itu adalah susulan daripada kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh JAS pusat melalui surat bertarikh 11 April 2023.

Susulan daripada itu, nelayan melalui PenMutiara telah mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan JAS berhubung kelulusan Laporan EIA bagi Projek PSI berkenaan.

Ini kerana, menurut nelayan, walaupun skop projek telah dikecilkan, projek berkenaan tetap akan merosakkan alam sekitar dan ekosistem hidupan laut.

Dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September lalu dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan.

 


Source: Sinar Harian 

https://www.sinarharian.com.my/article/283353/edisi/utara/tak-nampak-jalan-penyelesaian-nelayan-mula-terima-simp

Comments

Popular posts from this blog

About Us

TRAWLING FOR NEW OPPORTUNITIES

PANTUN: KESAN BURUK PULAU BUATAN