PROJEK TAMBAK PULAU PINANG BAWA KESAN BERPANJANGAN

 


PETALING JAYA: Projek mega penambakan laut Pulau Pinang merupakan satu contoh spatial injustice atau ketidakadilan ruang apabila gagal mengambil kira daripada segi perspektif kritikal dan dimensi hak ekonomi, sosial dan budaya untuk mendapat perhatian saksama sewajarnya ketika usaha perancangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Azril Mohd. Amin berkata, pihaknya selaku badan pemikir bebas sebelum ini telah menjalankan kajian bagi mengenal pasti dan mengetengahkan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya berhubung impak projek mega penambakan laut terhadap komuniti pesisir pantai di Pulau Pinang.

Katanya, projek tambakan laut itu membawa kesan berpanjangan terhadap pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk nyawa, ekonomi dan alam sekitar serta sosial rakyat walaupun tujuan membawa naratif untuk meningkatkan taraf hidup penduduk.

“Seramai 10 penyelidik yang pakar dalam bidang masing-masing daripada universiti tempatan, pengamal undang-undang, penganalisis dan aktivis telah berkumpul dan menyumbang idea serta pandangan dalam penyediaan laporan ini.

“Laporan ini mengetengahkan tema, memperluaskan ruang demokratik, memperkukuh kedaulatan undang-undang, mempromosi rasa hormat dan melindungi hak-hak asasi manusia di Malaysia.

“Dalam hal ini, Masa mengambil tanggungjawab untuk mengetengahkan dimensi ekonomi dan sosial kesan daripada pengambilan ruang awam di bandar bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelbagai pihak yang terlibat dalam aktiviti penambakan laut tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Azril memaklumkan Masa hari ini telah menyerahkan laporan pertamanya berhubung isu projek mega penambakan laut di Pulau Pinang untuk Semakan Berkala Sejagat (UPR) Pusingan Keempat.

Laporan itu berjaya diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) berpangkalan di Geneva, Switzerland.

Mengulas lanjut, Azril berkata, laporan UPR itu adalah seiring matlamat Masa untuk mempromosikan kemakmuran dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan tiada yang ketinggalan seperti termaktub dalam tiga teras Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Katanya, usaha itu merangkumi pembangunan untuk semua, mencapai taraf hidup selesa dan agihan saksama, ke arah negara yang makmur, bersatu dan bermaruah.

Beliau menambah, matlamat itu juga bertepatan dengan prinsip dan pendekatan badan pemikir itu sejak penubuhannya pada 2019 untuk menyediakan penyelidikan berkualiti, cadangan dasar dan analisis isu dasar awam berpandukan data, berpaksikan nilai kemakmuran bersama.

“Ini juga selaras dengan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948, Deklarasi Hak Asasi Manusia dalam Islam (CDHRI) 1990, Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Penyertaan Masa dalam proses UPR memperkukuhkan suara pertubuhan masyarakat sivil dalam membangkitkan isu hak ekonomi, sosial dan budaya dalam rangka kerja yang tepat dan berwibawa.

“Masa akan mempergiat usaha mempertahankan hak-hak ekonomi, sosial dan budaya masyarakat Malaysia berdasarkan acuan sendiri, selaras dengan kedudukan Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia bagi penggal 2022-2024,” katanya.


Source: Pemikiran Baharu Utusan Malaysia (https://www.utusan.com.my/nasional/2023/07/projek-tambak-pulau-pinang-bawa-kesan-berpanjangan/ )

Comments

Popular posts from this blog

Kerajaan lulus bina 257 rumah nelayan

Ratusan bot nelayan asing ceroboh ZEE

Nelayan terkesan PSI mahu pampasan rumah setimpal harga bot