Gerakan Ekonomi Malaysia Gesa Henti Projek PSI
GEORGETOWN -
Gerakan Ekonomi Malaysia menggesa Kerajaan untuk memberhentikan projek Pulau
Selatan Pulau Pinang (PSI) dan merangka dasar secara menyeluruh bagi memastikan
nelayan dapat menjalani kehidupan selesa dengan pendapatan yang terjamin tanpa
memerlukan sebarang bantuan daripada kerajaan.
Presidennya, Armin Baniaz
Pahamin berkata, tanpa perancangan yang menyeluruh, nelayan akan sentiasa
memerlukan bantuan.
Menurutnya, kerajaan perlu
menyediakan satu dasar bagi memastikan masa depan nelayan terjamin tanpa perlu
mengemis untuk bantuan.
"Faktor yang paling
penting untuk kelestarian nelayan ialah tempat kawasan menangkap ikan. Kawasan
menangkap ikan yang subur perlu digazet, dilindungi dan dipelihara. Perikanan
adalah satu industri yang menguntungkan di negara-negara maju tetapi di
Malaysia, nelayan tergolong dalam golongan miskin yang memerlukan bantuan.
"Salah satu cara ialah
melalui penggabungan kampung-kampung nelayan di bawah pengurusan profesional,
mengadaptasi teknologi terkini dan model bisnes bagi memastikan hasil tangkapan
dapat menjamin pendapatan sepanjang tahun termasuk pada musim tengkujuh. Ini
boleh dicapai melalui proses ikan dalam tin atau pembekuan ikan," katanya
dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Menurutnya, jumlah bantuan
kepada nelayan akan terus meningkat tanpa solusi kepada masa depan keluarga
mereka.
"Ini belum lagi kesan
kepada alam semula jadi akibat daripada tambakan laut untuk melaksanakan Projek
PSI. Malaysia memperuntukkan jumlah yang besar untuk pemberian subsidi dan
elaun sara hidup kepada nelayan.
"Jumlah subsidi ini akan
terus meningkat dan berterusan akibat daripada dasar Kerajaan yang tidak peka
kepada keperluan nelayan. Pada tahun 2023 bantuan pukat kepada semua nelayan di
Pulau Pinang meningkat daripada RM959,600 kepada RM1.614 juta pada 2022.
"Selain
itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan pula memberi bantuan khas
Aidilfitri sebanyak RM500 kepada 38,500 nelayan di seluruh negara. Kerajaan
Persekutuan pula, melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi bantuan
subsidi minyak, insentif tangkapan ikan, insurans nelayan dan perumahan
nelayan," katanya.
“Kata beliau, rancangan pembangunan
Pulau Pinang khususnya pembangunan Projek PSI meninggalkan kesan yang amat
kritikal kepada sumber pendapatan, masa depan nelayan serta menjejaskan bekalan
ikan tempatan.”
"Namun apa yang
mengecewakan, tiada tindakan yang diambil oleh Kerajaan untuk menyediakan
sumber pendapatan alternatif. Kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan Ketua
Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail perlu diambil serius kerana ia
menjejaskan isu jaminan makanan dan alam sekitar.
"Unit Nelayan Sungai Batu
bersama Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan, Persatuan Nelayan Pulau Pinang
(Pen Mutiara) dan Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang membantah
sekeras-kerasnya Projek PSI kerana kawasan terbabit menjadi satu-satunya punca
dan sumber pendapatan nelayan di negeri itu," katanya.
Tambah Armin, hasil tangkapan
ikan yang dijual melalui Persatuan Nelayan Pulau Pinang Selatan dari kawasan
yang terbabit berjumlah RM6 juta setahun dengan tangkapan ikan melebihi 500
tan.
"Jumlah ini tidak termasuk
hasil tangkapan nelayan dari Kedah Selatan dan Perak Utara di tempat kawasan
menangkap ikan yang sama. Projek PSI bukan mengurangkan tetapi akan memusnahkan
terus hasil tangkapan di Selatan Pulau Pinang.
"Ini akan menjejas isu
jaminan makanan dan bekalan ikan kepada penduduk di Pulau Pinang, Kedah dan
Perak. Lebih 6,000 nelayan akan kehilangan mata pencarian. Bekalan ikan akan
terjejas di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan jaminan makanan negara juga akan
terancam," ujar beliau lagi.
Projek PSI yang sebelum ini
dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan
tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan
selatan Pulau Pinang.
Projek tersebut yang mula
diperkenalkan pada 2015 merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan
Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion selepas SRS Konsortium dilantik
sebagai PDP untuk PTMP pada 14 Ogos 2015.
Bagaimanapun, Kerajaan Pulau
Pinang mengumumkan pembatalan bagi Pulau B dalam Projek PSI seperti mana yang
diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 Mei lalu.
Selain Pulau B, keluasan Pulau
A yang dinamakan sebagai Pulau Silikon turut dikecilkan iaitu daripada 1,821
hektar kepada 930.8 hektar selain Pulau C yang berkeluasan 323.7 hektar turut
dibatalkan.
Pengurangan keluasan itu
melibatkan 49 peratus daripada keseluruhan tiga pulau kepada satu buah pulau
sahaja.
Sumber : Sinar Kerangka (https://www.sinarharian.com.my/article/266288/edisi/utara/gerakan-ekonomi-malaysia-gesa-henti-projek-psi)
Comments
Post a Comment
Tinggalkan komentar untuk meningkatkan kinerja